Tuesday, September 27, 2005

Perancangan

Seorang juruterbang atau kapten kapal mahupun pemandu bas akan membuat perancangan perjalanan mereka dengan meneliti peta dan mengetahui lokasi yang ingin dituju. Tanpa perancangan dan peta laluan serta lokasi yang ingin dituju, sudah pasti mereka sesat dan gagal ke destinasi yang diinginkan.

Perancangan merupakan sesuatu yang amat penting bagi kita dalam emncapai tujuan hidup, seperti mana juga yang dilakukan oleh para arkitek, jurutera dan kontraktor dalam proses membinaan bangunan tinggi. Tidak memadai dengan mengetahui ke mana destinasi yang ingin kita tuju. Kita juga harus tahu bagaimana kita boleh sampai ke sana. Sebelum kita bergerak dan berharap sampai ke tempat yang dituju, kita perlu merancangkan segala hal yang mungkin berlaku di dalam perjalanan itu. Kejayaan tidak akan 'terjadi begitu saja'.

Apabila kita memutuskan matlamat atau sasaran hidup, maka sasaran harus tidak berubah. Ya memang benar, rancangan kita boleh berubah-ubah. Seorang Panglima tentera tidak akan memenangi peperangan atau mencapai sasarannya dengan satu taktik, ia akan mengenatikan dengan pelbagai taktik lain supaya dapat mencapai sasarannya. Seperti juga Panglima tentera, kita juga memerlukan pelbagai rancangan yang boleh kita gunakan kalau diperlukan.

Perancangan yang baik akan membawa kita ke sasaran. Kalau ada 'jalan pintas menuju kejayaan', maka hal tersebut adalah perancangan yang tepat. Perancangan seperti ini akan menghilang kebiasaan membuta-tuli dan menunggu datangnya nasib baik atau kesempatan.