Friday, March 20, 2009

Petua untuk sentiasa positif dalam kehidupan harian


Petua untuk sentiasa positif dalam kehidupan harian

Petua berikut boleh digunakan untuk memotivasikan diri:

1. Ucapkan kata positif supaya ia menerbitkan getaran positif dari minda.

Jika boleh, beri semangat pada diri setiap pagi, setiap hari dan setiap saat kita bernafas.

2. Baca artikel motivasi pendek yang merangsang pemikiran supaya gelombang minda bertukar menjadi lebih positif.

Dengar ceramah motivasi menggunakan alat MP3, telefon bimbit dan seumpamanya.

Pada waktu pagi, lazimnya banyak gelombang negatif yang bersimpang-siur daripada orang keliling.

Keadaan jalan yang sesak, berita keganasan dan cerita politik banyak menerbitkan getaran negatif yang sangat kuat.

3. Saat menyedari diri mula berfikiran negatif, latih diri untuk beristighfar kerana ia dapat mencuci kekotoran yang terbit dari dalam hati.

Perkataan yang dibaca, dilihat dan didengar menerbitkan getaran tenaga minda yang berbeza.

4. Apabila perkataan negatif, tenaga yang terbit juga menjadi negatif.

Kemudian ia mempengaruhi diri supaya bertukar menjadi negatif.

Kesannya, motivasi diri menurun, tidak bersemangat, lemah, longlai, malas, asyik bertangguh bahkan lebih buruk, kurang inspirasi untuk meneruskan hidup.

5. Hanya ada satu jenis gelombang menguasai minda sama ada positif atau negatif.

Perkataan yang dibaca, diucap dan didengari mempengaruhi gelombang minda ini.

Jadi, untuk memastikan diri sentiasa bersemangat dan bermotivasi, dekatkan diri dengan perkataan positif dan baik, sekerap mungkin.

Ini bagi membolehkan tenaga yang terbit adalah positif dan kesannya, diri menjadi positif sepanjang hari.

Ubah sikap, bersemangat, petua lebih ceria walaupun jiwa bergelora


Ubah sikap, bersemangat, petua lebih ceria walaupun jiwa bergelora

PERNAHKAH anda rasa terlalu tertekan atau rendah diri apabila dimarahi ketua juga marah apabila disisihkan rakan sepejabat?

Sekiranya anda seorang pelajar, barangkali rasa malu menyelinap diri apabila dileter guru.

Si peniaga pula mungkin kurang bersemangat apabila perniagaan merudum atau rakan sekerja kurang memberikan kerjasama hingga menyebabkan pelbagai masalah lain melanda.

Ketika berdepan situasi sedemikian, apa perlu dilakukan?

Cuba ubah sikap supaya diri lebih bersemangat, ceria lagi bertenaga.

Berikut mungkin petua yang boleh digunakan bagi menjadikan diri lebih gembira dan ceria walau di mana jua berada, di samping terpaksa menonjolkan sikap selamba walaupun di hati sedang ‘bergelora’.






+ Niat di hati. Katakan pada diri sendiri, “Aku mahu jadi ceria, aku memang seorang yang bersemangat!”


+ Ubah pernafasan. Tarik nafas dalam-dalam, tahan dalam kiraan tujuh saat, kemudian hembus perlahan-lahan dalam kiraan tujuh saat. Lakukan ketika berdiri. Ulang lima hingga tujuh kali untuk kesan maksimum.


+ Ubah postur badan dan gaya berjalan. Tegakkan badan, jangan bongkok dan melangkah dengan penuh keyakinan, biar nampak bertenaga.


+ Menyanyi kecil. Menyanyi boleh mengubah diri kita terutama lagu yang disukai. Elak menyanyi lagu sedih sebab ia mengubah suasana dan peribadi diri yang boleh menyebabkan diri bertukar sedih. Jangan terlalu mengikut perasaan.


+ Banyakkan istighfar dan zikir. Apabila berada dalam keadaan tertekan yang keterlaluan, tentu ada rasa marah kecil di dalam hati kerana tidak puas hati lalu emosi menjadi bercelaru dan kurang bersemangat.

- Untuk menghilangkan marah, cuci hati dengan beristighfar. Lebih berkesan lagi jika sebelum itu, anda mengambil wuduk.

- Istighfar sebanyak mungkin, sehingga kesannya meresap masuk ke sanubari sejauh yang mungkin, semakin dalam sehingga diri benar-benar terasa damai.

- Selepas itu, bersyukur atas apa yang diperolehi pada hari dan saat itu. Misalnya, bersyukur kerana mempunyai kerja untuk mencari rezeki, punya pendapatan di akhir bulan dan seumpamanya.

- Amalan sentiasa bersyukur mengubah jiwa menjadi lebih tenang lantas menjadi lebih bersemangat.


Tiga perkara jadikan hidup sempurna


Tiga perkara jadikan hidup sempurna

Oleh Aminudin Mansor

SEBAGAI manusia sering diuji dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seperti sakit, kesusahan hidup dan kematian, ketabahan manusia menghadapi ujian Allah banyak bergantung kepada keimanan seseorang.

Allah SWT berfirman bermaksud, "Kamu sekalian Kami uji dengan keadaan serba ketakutan, lapar dan serba kekurangan, baik mengenai harta, jiwa, mahupun mengenai hasil tanaman, dan buah-buahan, gembiralah orang yang sabar, tidak ditimpa sesuatu musibah, mereka (berserah diri kepada Allah) dengan mengucapkan: kami kepunyaan Allah dan kepada-Nya kami kembali." (Al-Baqarah: 156).

Ayat ini jelas menunjukkan kehidupan manusia itu sentiasa diuji dengan pelbagai cubaan. Ujian ini bertujuan melihat kesabaran pada hamba-Nya.

Firman Allah bermaksud, "Hai orang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sesungguhnya takwa." (Surah Ali Imran:102).

Selanjutnya Allah berfirman bermaksud, "Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar (dari segala kesukaran) dan diberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka." (Riwayat Surah Ath Thalaq:2-3).

Setiap ujian dan dugaan dalam kehidupan akan mendidik seseorang itu menjadi manusia sejati iaitu beriman, bertakwa, serta meneruskan tujuan hidup mencari keredaan Allah.

Kehidupan jangan tersasar dan mesti mengikut Rasulullah SAW dalam segala bidang.

Baik yang berhubung dengan Allah mahupun berhubungan dengan sesama manusia.

Hal ini sesuai dengan firman Allah bermaksud, "Tidak ada manusia yang paling mulia di sisi Allah melainkan yang benar-benar takwa kepada Allah." (Al-Hujarat:13)

Dalam hal kesabaran Nabi SAW mengingatkan dalam sabdanya bermaksud, "Sabar yang sebenarnya pada saat bermula tertimpa musibah." (Riwayat Al Bukhari).

Sementara Hukamak pernah berkata, "Apabila seseorang itu reda menerima apa-apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya, maka dia akan menjadi orang terkaya di dunia."

Oleh itu, reda dan sabar adalah kekuatan yang ada dalam diri seseorang dalam menghadapi ujian dan musibah. Seterusnya, Nabi SAW bersabda bermaksud, "Tidak ada suatu rezeki yang Allah berikan kepada seorang hamba yang lebih luas baginya daripada sabar." (Riwayat Al-Hakim).

Ada pepatah mengatakan kesempurnaan hidup terletak pada tiga perkara, iaitu pandai menahan hati dalam menjunjung agama, sabar ketika ditimpa musibah dan pandai mengatur belanja.

Sementara itu, ahli Tasauf Hassan Basri menyatakan, "Barang siapa tidak ada adab bererti tidak ada ilmu. Barang siapa tidak ada kesabaran, bererti ia tidak ada agama. Barang siapa tidak ada sifat warak, bererti ia tidak dekat dengan Tuhannya."

Sifat sabar sangat penting dalam kehidupan. Kata-kata ini boleh dijadikan renungan "Sabar terhadap teman yang menyakitkan lebih baik daripada mencacinya. Mencaci adalah lebih daripada memutuskan silaturahim dan memutuskan silaturahim adalah lebih baik daripada berkelahi".

Dalam kehidupan tidak ada seorang pun yang terlepas daripada kesedihan dan tidak seorang manusia pun yang terhindar daripada kesusahan. Oleh itu, bersabar menghadapi musibah.

Dr Aidh Abdullah Al-Qarni mengatakan, "Setiap musibah yang menimpa dirimu misalnya kesedihan, kesusahan, kelaparan, kemiskinan, penyakit, hutang dan musibah lain, Allah akan memberi pahalanya kepada anda jika anda bersabar."

Percayalah dunia ini adalah tempat ujian dan cubaan. Semuanya ini adalah ke arah mencari reda Allah. Oleh itu, kita digalakkan meminta pertolongan hanya kepada Allah.

Sebagai ibu bapa, seseorang itu mesti bersabar menghadapi kerenah anak yang sedang membesar. Semua kebahagiaan terletak pada kesabaran ibu bapa yang menentukan sama ada bahagia atau sebaliknya dalam rumah tangga.

Dalam kehidupan, kita tidak berjaya mendapatkan apa yang kita sukai, melainkan kita bersabar pada perkara yang kita tidak senangi.

Sesungguhnya, sifat sabar dapat memaafkan kesalahan orang lain dan juga tabah menjadikan hati tenang, fikiran dan perasaan sanggup menahan penderitaan dihadapi dalam kehidupan penuh pancaroba.

Friday, February 27, 2009

Cinta… jalan murni ke syurga


Setiap individu yang berperasaan pasti akan merasai cinta dan mencintai sesuatu.
Cinta adalah perasaan halus yang dimiliki hati setiap insan, dan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian.
Dalam Islam, cinta merupakan perkara utama dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Ini kerana Islam sendiri merupakan agama yang berasaskan cinta.

Sabda Rasullulah s.a.w.: "Tiga perkara yang apabila terdapat pada diri seseorang maka ia akan mendapat manisnya iman, yakni: Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada yang lain; mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka" (HR. Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, Islam menyeru kepada cinta, iaitu cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah, cinta kepada agama, cinta kepada akidah, juga cinta kepada makhluk, sepertimana Allah menjadikan kecintaan suami isteri sebagai sebahagian tanda dan bukti kekuasaanNya.
FirmanNya: "Dan di antara tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari kalangan kamu sendiri, supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Dan dijadikanNya cinta kasih sayang antara kamu. Sesungguhnya, yang demikian itu tanda bagi orang yang berfikir." (Ar-Rum: 21)

Bagaimana perasaan ketakutan, keraguan dan sukar mengambil atau membuat keputusan ini wujud dalam diri seseorang?
Ketakutan membuat keputusan ini sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada kita tanpa disedari.
Perasaan ini adakalanya tersembunyi di sebalik alam bawah sedar kita dan ini amat menyulitkan kita untuk mengesan dan mengatasinya.

Jelaslah bahawa cinta adalah tanda kehidupan rohani dalam akidah orang mukmin, sama ada dalam kehidupan beragama, bersosial, mahupun kepercayaan.
Selain itu, iman dalam Islam ditegakkan berdasarkan cinta dan kasih sayang. Rasulullah saw bersabda: "Demi Dzat yang diriku ada di tanganNya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman dengan sempurna hingga kamu saling mencintai. Hendakkah aku tunjukkan kalian kepada sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian." (HR Muslim)



Dalam hadis di atas, Rasullulah s.a.w. menegaskan bahawa jalan menuju ke syurga bergantung kepada iman, dan iman bergantung kepada cinta.
Maka cinta adalah syarat dalam iman, rukun dalam akidah, dan asas dalam agama.
Cinta dalam Islam adalah kaedah dan sistem yang mempunyai batas.
Ia adalah penunjuk ke arah mendidik jiwa, membersihkan akhlak serta mencegah atau melindungi diri daripada dosa-dosa.
Cinta dapat membimbing jiwa agar bersinar cemerlang, penuh dengan perasaan cinta dan dicintai.

Sayangnya dalam konteks hari ini, cinta yang lahir sarat hawa nafsu dan menyimpang daripada matlamat yang murni.
Saban hari kita didodoikan dengan lagu cinta dan dipertontonkan kisah cinta yang menghanyutkan kita ke dunia khayalan yang merugikan.
Malah ramai yang menyalahertikan makna sebenar cinta, sehingga terdorong melampaui batas pergaulan dan tatasusila seorang mukmin.

Oleh yang demikian, renungilah sebentar hakikat kehidupan kita di sini.
Sabda Rasullulah s.a.w.: "Tidak sempurna iman salah seorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai diri sendiri."
Juga sabda Rasulullah lagi, "Barang siapa ingin mendapatkan manisnya iman, maka hendaklah ia mencintai orang lain kerana Allah." (HR Hakim dari Abu Hurairah).

Thursday, February 19, 2009

Gred harus seiring kemahiran

Naib Canselor sebuah universiti tempatan berasa kecewa apabila para graduan lepasan universitinya mengalami masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Situasi itu tambah mendukacitakan apabila graduan dari universiti lain menjadi pilihan utama para majikan.

Permasalahan ini terus-terusan menjadi bebanan serta tekanan apabila para majikan cenderung memberi label atau mengkategorikan para graduan dari sesetengah universiti sebagai tidak berkelayakan untuk diambil bekerja.

Namun bagi graduan pilihan universiti terpilih, mereka diambil bekerja sebelum sempat bergraduasi. Menurut ahli psikologi kualiti Robert Sternberg, golongan pelajar ini mempunyai ciri “kepintaran praktikal”.

Memetik kata-kata Sternberg, Malcolm Gladwell menulis dalam karya terbaru beliau, Outliers, kepintaran praktikal merangkumi ‘tahu apa yang perlu diucapkan kepada siapa, tahu bila masa untuk mengucapkannya serta tahu bagaimana untuk mengucapkannya bagi mendapatkan kesan terbaik’.

Ia adalah antara ciri-ciri yang diambil kira oleh para majikan apabila mereka ingin mengambil para graduan untuk bekerja.Canselor Pendidikan, Sains dan Latihan, Dr. Shannon Smith dari Kedutaan Australia di Jakarta, Indonesia melaporkan dalam Asia Campus isu 2008 bahawa para majikan di Australia secara amnya telah mengenalpasti lapan kumpulan kemahiran kerja: komunikasi; kerja berkumpulan; penyelesaian masalah; inisiatif dan kemandirian; perancangan dan pelaksanaan; pengurusan diri; pembelajaran; dan teknologi.

Kebanyakan universiti mensasarkan secara terus bagi mengasah kemahiran berkomunikasi di kalangan pelajarnya dengan pelbagai program inovatif, namun mereka mengabaikan aspek-aspek inisiatif dan kemandirian.

Kerjasama berkumpulan juga penting.

Mark de Rond menyebut dalam artikelnya yang tersiar di Harvard Business Review 2008, tentang pengalaman beliau ketika Oxford and Cambridge Boat Race.

Menurut beliau, para pendayung elit yang memenangi tempat teratas di pertandingan Cambridge’s Blue Boat adalah mereka yang berjuang habis-habisan – tanpa menghiraukan kamera – bagi mendapatkan tempat teratas dan kemudiannya berganding bahu bersama dengan krew-krew bot lain yang juga terdiri daripada golongan yang terpilih.

Mengenalpasti golongan ini adalah satu tugas yang bukan mudah dan mencabar.

Selain daripada memberikan satu acara gala tahunan serta sebuah pertandingan, acara perlumbaan bot ini juga membina karakter peribadi.

Kebanyakan universiti menjalankan program pembangunan modal insan secara dalaman.

Mempelajari teori adalah satu perkara, manakala mengatasi cabaran melepasi sesi soal jawab ketika temuduga pekerjaan adalah satu lagi perkara berasingan yang mana kedua-duanya adalah perlu.

Jeffrey Klugar yang menulis artikel dalam Time mengatakan; “Alam semulajadi adalah satu acara zero-sum.

Setiap kerbau yang dibunuh untuk makanan sesebuah keluarga bermakna sebuah keluarga lain kehilangan satu kerbau.

Setiap tanah yang diduduki pula menidakkan hak seorang individu lain.

Oleh itu, sifat untuk terus maju ke hadapan sepatutnya menjadi sifat semulajadi pada setiap orang”.

Perkara yang sama boleh diadaptasi dalam permasalahan mencari pekerjaan.

Bill Clinton memenangi kempen kerusi Presiden pada 1992 dengan slogan “It is the economy, stupid”.

Dalam keadaan ekonomi sekarang ini, slogan Clinton itu ada benarnya.

(artikel ini ditulis oleh Prof. Madya Dr. Koh Aik Khoon, Timbalan Pengarah (Maklumat dan Komunikasi Korporat), Pusat Perancangan dan Komunikasi Korporat, Universiti Kebangsaan Malaysia, seperti yang tersiar di ruangan Bangi Forum, New Sunday Times, 4 Januari 2009).