Friday, February 27, 2009

Cinta… jalan murni ke syurga


Setiap individu yang berperasaan pasti akan merasai cinta dan mencintai sesuatu.
Cinta adalah perasaan halus yang dimiliki hati setiap insan, dan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan seharian.
Dalam Islam, cinta merupakan perkara utama dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Ini kerana Islam sendiri merupakan agama yang berasaskan cinta.

Sabda Rasullulah s.a.w.: "Tiga perkara yang apabila terdapat pada diri seseorang maka ia akan mendapat manisnya iman, yakni: Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada yang lain; mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka" (HR. Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, Islam menyeru kepada cinta, iaitu cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah, cinta kepada agama, cinta kepada akidah, juga cinta kepada makhluk, sepertimana Allah menjadikan kecintaan suami isteri sebagai sebahagian tanda dan bukti kekuasaanNya.
FirmanNya: "Dan di antara tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari kalangan kamu sendiri, supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka. Dan dijadikanNya cinta kasih sayang antara kamu. Sesungguhnya, yang demikian itu tanda bagi orang yang berfikir." (Ar-Rum: 21)

Bagaimana perasaan ketakutan, keraguan dan sukar mengambil atau membuat keputusan ini wujud dalam diri seseorang?
Ketakutan membuat keputusan ini sebenarnya telah menjadi sebahagian daripada kita tanpa disedari.
Perasaan ini adakalanya tersembunyi di sebalik alam bawah sedar kita dan ini amat menyulitkan kita untuk mengesan dan mengatasinya.

Jelaslah bahawa cinta adalah tanda kehidupan rohani dalam akidah orang mukmin, sama ada dalam kehidupan beragama, bersosial, mahupun kepercayaan.
Selain itu, iman dalam Islam ditegakkan berdasarkan cinta dan kasih sayang. Rasulullah saw bersabda: "Demi Dzat yang diriku ada di tanganNya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman dengan sempurna hingga kamu saling mencintai. Hendakkah aku tunjukkan kalian kepada sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian." (HR Muslim)



Dalam hadis di atas, Rasullulah s.a.w. menegaskan bahawa jalan menuju ke syurga bergantung kepada iman, dan iman bergantung kepada cinta.
Maka cinta adalah syarat dalam iman, rukun dalam akidah, dan asas dalam agama.
Cinta dalam Islam adalah kaedah dan sistem yang mempunyai batas.
Ia adalah penunjuk ke arah mendidik jiwa, membersihkan akhlak serta mencegah atau melindungi diri daripada dosa-dosa.
Cinta dapat membimbing jiwa agar bersinar cemerlang, penuh dengan perasaan cinta dan dicintai.

Sayangnya dalam konteks hari ini, cinta yang lahir sarat hawa nafsu dan menyimpang daripada matlamat yang murni.
Saban hari kita didodoikan dengan lagu cinta dan dipertontonkan kisah cinta yang menghanyutkan kita ke dunia khayalan yang merugikan.
Malah ramai yang menyalahertikan makna sebenar cinta, sehingga terdorong melampaui batas pergaulan dan tatasusila seorang mukmin.

Oleh yang demikian, renungilah sebentar hakikat kehidupan kita di sini.
Sabda Rasullulah s.a.w.: "Tidak sempurna iman salah seorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai diri sendiri."
Juga sabda Rasulullah lagi, "Barang siapa ingin mendapatkan manisnya iman, maka hendaklah ia mencintai orang lain kerana Allah." (HR Hakim dari Abu Hurairah).

Thursday, February 19, 2009

Gred harus seiring kemahiran

Naib Canselor sebuah universiti tempatan berasa kecewa apabila para graduan lepasan universitinya mengalami masalah untuk mendapatkan pekerjaan.

Situasi itu tambah mendukacitakan apabila graduan dari universiti lain menjadi pilihan utama para majikan.

Permasalahan ini terus-terusan menjadi bebanan serta tekanan apabila para majikan cenderung memberi label atau mengkategorikan para graduan dari sesetengah universiti sebagai tidak berkelayakan untuk diambil bekerja.

Namun bagi graduan pilihan universiti terpilih, mereka diambil bekerja sebelum sempat bergraduasi. Menurut ahli psikologi kualiti Robert Sternberg, golongan pelajar ini mempunyai ciri “kepintaran praktikal”.

Memetik kata-kata Sternberg, Malcolm Gladwell menulis dalam karya terbaru beliau, Outliers, kepintaran praktikal merangkumi ‘tahu apa yang perlu diucapkan kepada siapa, tahu bila masa untuk mengucapkannya serta tahu bagaimana untuk mengucapkannya bagi mendapatkan kesan terbaik’.

Ia adalah antara ciri-ciri yang diambil kira oleh para majikan apabila mereka ingin mengambil para graduan untuk bekerja.Canselor Pendidikan, Sains dan Latihan, Dr. Shannon Smith dari Kedutaan Australia di Jakarta, Indonesia melaporkan dalam Asia Campus isu 2008 bahawa para majikan di Australia secara amnya telah mengenalpasti lapan kumpulan kemahiran kerja: komunikasi; kerja berkumpulan; penyelesaian masalah; inisiatif dan kemandirian; perancangan dan pelaksanaan; pengurusan diri; pembelajaran; dan teknologi.

Kebanyakan universiti mensasarkan secara terus bagi mengasah kemahiran berkomunikasi di kalangan pelajarnya dengan pelbagai program inovatif, namun mereka mengabaikan aspek-aspek inisiatif dan kemandirian.

Kerjasama berkumpulan juga penting.

Mark de Rond menyebut dalam artikelnya yang tersiar di Harvard Business Review 2008, tentang pengalaman beliau ketika Oxford and Cambridge Boat Race.

Menurut beliau, para pendayung elit yang memenangi tempat teratas di pertandingan Cambridge’s Blue Boat adalah mereka yang berjuang habis-habisan – tanpa menghiraukan kamera – bagi mendapatkan tempat teratas dan kemudiannya berganding bahu bersama dengan krew-krew bot lain yang juga terdiri daripada golongan yang terpilih.

Mengenalpasti golongan ini adalah satu tugas yang bukan mudah dan mencabar.

Selain daripada memberikan satu acara gala tahunan serta sebuah pertandingan, acara perlumbaan bot ini juga membina karakter peribadi.

Kebanyakan universiti menjalankan program pembangunan modal insan secara dalaman.

Mempelajari teori adalah satu perkara, manakala mengatasi cabaran melepasi sesi soal jawab ketika temuduga pekerjaan adalah satu lagi perkara berasingan yang mana kedua-duanya adalah perlu.

Jeffrey Klugar yang menulis artikel dalam Time mengatakan; “Alam semulajadi adalah satu acara zero-sum.

Setiap kerbau yang dibunuh untuk makanan sesebuah keluarga bermakna sebuah keluarga lain kehilangan satu kerbau.

Setiap tanah yang diduduki pula menidakkan hak seorang individu lain.

Oleh itu, sifat untuk terus maju ke hadapan sepatutnya menjadi sifat semulajadi pada setiap orang”.

Perkara yang sama boleh diadaptasi dalam permasalahan mencari pekerjaan.

Bill Clinton memenangi kempen kerusi Presiden pada 1992 dengan slogan “It is the economy, stupid”.

Dalam keadaan ekonomi sekarang ini, slogan Clinton itu ada benarnya.

(artikel ini ditulis oleh Prof. Madya Dr. Koh Aik Khoon, Timbalan Pengarah (Maklumat dan Komunikasi Korporat), Pusat Perancangan dan Komunikasi Korporat, Universiti Kebangsaan Malaysia, seperti yang tersiar di ruangan Bangi Forum, New Sunday Times, 4 Januari 2009).