Sunday, October 16, 2005

Akal Wanita Senipis Rambutnya

Jangankan lelaki biasa,nabi pun terasa sunyi tanpa wanita.
Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.
Masih mencari walau ada segalanya.
Apa yang tiada dalam syurga?
Namun adam tetap rindukan hawa.

Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.
Untuk diluruskan oleh lelaki.
Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,
Mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah,
Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.
Didiklah mereka dengan panduan darinya.
Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta,
kerana nantinya mereka semakin liar.
Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan,
kerana nantinya mereka akan semakin derita.
Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal.
Di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu.
Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman...
Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak.
Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya...
Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rab...
Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan..
Ia bukan diskriminasi Allah...sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah...

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya...
Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan...
Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus...
Bahkan akan semakin membengkok...
Itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya...

Bila wanita menjadi derhaka...pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara....
Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata...
Tapi binalah kepimpinan...
Pastikan sebelum wanita menuju ilahi, pimpinlah diri kepadanya...
Jinakkan diri kepada Allah...
Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu...
Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra'
Seandainya dirimu tidak sehebat saidina Ali karamallahuwajhah

Menghadapi Pergolakan

Oleh: Marhani Yusof

Ketika era pemerintahan Tokugawa di Jepun, ada seorang pakar pembuat teh bernama Sen no Rikyu. Sen no Rikyu adalah mengamal Cha-no-Yu iaitu berhubung etika membuat teh yang melatih diri untuk keharmonian dan menghidari peperangan. Ketika itu, pahlawan bernama Kato berasa bahawa kepercayaan San no Rikyu itu satu pengabadian kepada hal-hal kenegaraan. Lalu dia mengambil keputusan ingin membunuh Sen no Rikyu justeru kebimbangan kepercayaannya mengenai ketenangan dan keharmonian itu akan mempengaruhi orang lain.

Suatu hari Pahlawan Kato ke tempat Sen no Rikyu dengan alasan ingin melawat guru itu. Setibanya di tempat Sen no Rikyu, dia dipelawa masuk dan diminta meninggalkan pedangnya diluar. Namun Pahlawan Kato berkeras membawa masuk pedangnya memandangkan niatnya ingin membunuh guru itu. Sen no Rikyu membenarkannya dan menjemput Pahlawan Kato minum teh bersamanya. Mereka duduk menghadap cerek yang berada di atas dapur arang menunggu teh dihidangkan mengikut etika dan adat Cha-no-Yu.

Pahlawan Kato meletakkan pedangnya di tepi. Ketika air mendidih, Sen no Rikyu dengan sengaja membuka penutup cerek sehingga asap memenuhi bilik berkenaan dan abu berterbangan disebabkan wap yang keluar dari cerek itu. Pahlawan Kato terkejut dan berlari keluar tanpa sempat mengambil pedangnya. Sen no Rikyu meminta maaf dan menjemput Pahlawam Kato untuk kembali ke dalam dan minum teh bersama. Sen no Rikyu turut membersihkan pedang yang diselaputi abu dan memulangkannya kepada Pahlawan Kato dengan baik. Pahlawan Kato balik dan melupakan hasratnya untuk membunuh Sen no Rikyu.
Apakah yang boleh kita ambil iktibar daripada kisah di atas ini dalam kehidupan kita sehari-hari dan di saat hidup kita bergolak?

1. Ia hanya memerlukan seseorang untuk meredakan konflik.
Seseorang yang sedar akan membantu meredakan kemarahan seseorang dan memperlihatkan sesuatu perkara dengan lebih jelas. Dalam cerita di atas, salah seorang nekad ingin berperang. Secara teorinya, apabila seseorang sedang marah, ruang untuk berbincang tidak ada. Pahlawan di dalam kisah di atas beranggapan bahawa dengan memiliki sebilah pedang, maka dia akan dapat mengawal dan membuat keputusan. Namun sebaliknya telah berlaku. Hakikatnya, kekuasaan sebenar terletak pada kehendak dan pilihan kita.

2. Pilihan ada dalam diri kita - berperang atau berdamai?
Pilihan sebenarnya ada di tangan kita sama ada ingin berperang atau berdamai. Dalam kisah di atas yang boleh kita jadikan cerminan diri kita; di mana guru tersebut mempunyai tiga pilihan jika diserang:

a. Dia akan menyerang bagi mempertahankan diri.
b. Mengelak dan menafikan kewujudan masalah atau,
c. Cuba memahami keadaan, menduga serangan serta bersedia.

Sekiranya guru berkenaan membalas serangan, peperangan pasti akan meletus. Sekiranya dia mengelak atau tunduk kehendak lawan, dia pasti akan menemui ajalnya. Sekiranya guru itu boleh memahami dan menduga pendekatan atau strategi pihak lawan, dia akan melindungi dirinya dan berhasrat untuk berdamai. Maka mungkin ada jalan pendamaian.

3. Kejayaan peperangan psikologi
Sen no Rikyu memilih jalan berdamai bagi 'membuang senjata' lawannya. Dia dapat memahami dan menduga tindak-tanduk Pahlawan Kato, maka dia berjaya membuatkan Pahlawan Kota berasa berkuasa. Langkah ini dpaat menekan ego pahlawan itu. Tetapi ini bukan kejayaan sebenar guru tersebut. Kejayaan sebenar ialah kerana beliau berjaya membuat suasana menjadi tenang, berbincang dan bertemu musuhnya dalam keadaan aman. Kebijaksanaan menakluki lawan akan membuat lawan tunduk dan melupakan hasrat yang berapi-api di dalam dirinya.

Semua orang mampu menjadi pahlawan pendamai dengan pengubah sikap dan tindak balas kita terhadap pergolakan hidup. Dalam proses memantapkan jiwa, kita seharusnya sedar kehendak dan kemestian diri, hasrat kita, agenda tersembunyi, bagaimana kita bertindak balas terhadap konflik atau sebarang pergolakan menadatang dan juga apakah kita antara faktor menyumbang terhadap konflik sama ada secara sedar atau tidak.

Teliti diri kita. Bayangkan bertapa bermakna hidup andainya hanya satu orang - iaitu kita, yang mampu mengubah sedikit perubahan ketika berhadapan dan menyelesaikan pergolakan tanpa henti dalam proses interaksi sesama manusia

Kejayaan dan pengorbanan

"Kehidupan ini dipenuhi dengan seribu macam kemanisan tetapi untuk mencapainya perlu seribu macam pengorbanan"

Bagamana kita berkawan

Pernahkah kita mengalami secara tiba-tiba teman kita bersikap dingin terhadap persahabatan yang terjalin? Pernahkah kita melalui detik-detik di mana teman-teman sepersatuan enggan memberi kerjasama seperti yang diharapkan? Dan banyak lagi kejadian-kejadian yang lain berlaku semasa kita berkawan dengan seseorang. Justeru itu, coretan ini bertujuan untuk berkongsi serba sedikit panduan dan petua yang dapat membantu kita di dalam mengharungi kehidupan bersama teman-teman kita.

Perkara yang sering dilakukan oleh kita apabila bersama teman-teman adalah sikap suka mengkritik. Kita sering memperkecilkan usaha atau cadangan dari teman-teman dan adakalanya kita sering mencari kesalahan yang dilakukan oleh teman kita akibat kegagalan sesuatu tugas yang dilakukan bersama.

Sebenarnya, sikap suka mengkritik itu adalah merupakan usaha yang sesia-sia sahaja kerana seseorang akan bersikap defensif (mempertahankan diri) daripada kritikan tersebut dan berusaha untuk membenarkan dirinya. Sikap suka mengkritik akan merosakkan harga diri seseorang yang amat berharga, melukai perasaannya sebagai seorang yang penting dan menambahkan rasa rendah diri.

Dengan mengkritik, perubahan yang berjaya kita lakukan tidak akan berterusan dan kerapkali menimbulkan perasaan tidak puas hati. Perasaan sentimen (tidak puas hati) yang ditimbulkan oleh kritikan akan melumpuhkan semangat setiakawan, semangat kerjasama dan tidak dapat memperbaiki keadaan orang yang dikritik itu.

Sudah menjadi sikap manusia yang sering mengkritik atau menyalahkan orang lain apabila melakukan kesilapan kecuali dirinya sendiri. Kebanyakkan daripada kita adalah terdiri dalam golongan seperti ini. Kita haruslah sedar bahawa orang yang kita kritik atau yang disalahkan itu akan hanya membenarkan dirinya sendiri dan membalas kritik kita. Kenapa kita tidak berfikir seperti ini: "Jangan mengkritik mereka; kalau kita berada dalam situasi yang sama, kita pun akan lakukan seperti mereka."

Apakah kita ingin mengubah, mengatur dan memperbaiki orang lain? Tahniah! Ini sesuatu yang baik. Tetapi kenapa kita tidak mulai daripada diri kita sendiri? Kalau ditinjau sepintas lalu daripada kepentingan diri sendiri, perkara sebegini adalah lebih menguntungkan dibandingkan dengan cuba memperbaiki orang lain. Dan yang lebih baik, ia jauh lebih kurang bahaya.
Ingatlah! Sewaktu bergaul dengan seseorang, kita tidak bergaul dengan makhluk yang logik. Kita berhadapan dengan individu yang beremosi, penuh dengan prasangka dan digerakkan dengan motivasi maruah diri. Oleh demikian, kita harus bersikap bertimbangrasa dan cuba memahami keadaan sebenar yang berlaku. Tetapi untuk menjadi seseorang yang dapat memahami serta memaafkan memerlukan kesungguhan dan kemampuan mengendalikan diri.

Kesimpulannya, daripada kita mengkritik seseorang, lebih baik kita cuba memahami mereka. Cuba kita bayang kenapa mereka begitu. Itu lebih banyak memberi manfaat dan lebih menarik daripada membuat kritikan; sikap seperti itu menimbulkan simpati, tolenrasi dan kebaikan. "Mengetahui semuanya akan memanfaatkan semua."

Tuesday, October 11, 2005

Tuhan Sentiasa Menguji Kesabaran Manusia

Sumbangan: Azura Rabu

KEHIDUPAN umat Islam di alam ciptaan Allah ini tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ujian dan cabaran. Allah sentiasa menguji manusia dengan pelbagai ujian, apatah lagi orang beriman dan kuat beribadat. Ujian Allah bertujuan menilai sejauh manakah tahap kesabaran manusia, sama ada mereka bersabar atau sebaliknya.

Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa setiap manusia pasti diuji. Manusia pula perlu mengatur persediaan untuk menempuh ujian Allah, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca, gelisah dan keluh kesah. Malah, manusia perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Ini sebenarnya memperlihatkan kemampuan manusia bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan meyakini setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya.

Dalam hubungan ini, Allah berfirman bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu." (Surah Muhammad: ayat 31) Firman Allah lagi bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan." (Surah Al-Ankabut: ayat 2) Jelas, ujian Allah bertujuan mendidik manusia agar menghadapi hidup dengan takwa dan beriman kepada Allah.

Nilai keimanan seseorang bergantung sejauh mana kita sanggup mengharungi pahit getir hidup dengan bersabar. Iman adalah ikatan perhubungan antara manusia dengan Allah. Ini bersesuaian dengan hakikat Islam yang membina kekuatan dalaman insan dan sentiasa pula mengiginkan kebaikan. Sebagai manusia seharusnya kita tunduk terhadap apa jua ujian Allah dengan sabar. Bagaimanapun, kebiasaannya ramai kecundang apabila menghadapi ujian Allah, mudah putus asa, resah dan hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan. Malah, apabila ditimpa kesusahan, kemiskinan, kesakitan dan permasalahan, kita semakin tercabar dan hilang sabar. Ada pula hampir melupakan bahawa segala yang berlaku adalah kudrat Allah yang mesti diterima dengan sabar. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Siapa yang ingin bersabar, Allah memberikan kesabaran kepadanya."

Umat Islam tidak seharusnya bercakap kosong, tetapi mampu bertindak berbekal kesabaran di dada, menangani keadaan yang berkemungkinan memudaratkan serta disusuli dengan menunaikan kewa jipan kepada Allah dan menyelamatkan diri daripada melakukan perkara mungkar. Justeru, umat Islam yang mempunyai akidah yang teguh akan mudah menerima bencana, kesukaran, cabaran dan masalah yang berlaku berpunca daripada kecuaian manusia sendiri, perlu sabar menghadapi ujian Allah itu.

Allah berfirman bermaksud: "Jika kamu bersabar dan bertakwa, sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan." (Surah Ali Imran: ayat 186) Allah berfirman lagi, bermaksud: "Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Mereka itulah yang mendapat berkat yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk." (Surah Al-Baqarah: ayat 155-157).

Begitulah kelebihan sifat sabar yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan di dunia bahkan kenikmatan di akhirat. Justeru, kita perlu menanam sifat sabar pada diri dan ahli keluarga, di samping tidak meremehkan hal fardu kifayah. Kesabaran seharusnya menjadi teras yang melatari serta menunjangi hidup kita.

Perkara yang betul

"Mengetahui perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul"

Tuesday, September 27, 2005

Renungan Bersama

Mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul supaya apabila kita akhirnya menemui insan yang betul, kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.
Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tapi lazimnya kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama tinggakan kita tidak nampak pintu yang telahpun dibukakan untuk kita.

Kawan yang paling baik ialah seseorang yang anda boleh duduk di dalam buaian dan berbuai bersama tanpa berkata apa-apa pun dan kemudian berjalan pulang dengan perasaan bahawa itulah perbualan yang paling hebat yang pernah dialami.

Memang benar yang kita tidak akan tahu apa yang telah kita punyai sehinggalah kita kehilangannya dan juga benar bahawa kita tidak tahu apa yang kita rindukan sehinggalah 'ia' datang. Memberi seseorang seluruh cinta anda bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai anda kembali ! Jangan harapkan cinta sebagai balasan.

Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati anda. Ia Cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang.

Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut. Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram. Carilah yang membuatkan hati anda tersenyum.

Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila anda teramatkan rindukan seseorang sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar. Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin anda tujui dan jadilah apa yang anda inginkan kerana anda hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin anda lakukan. Semoga anda memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri anda menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan anda kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan anda adalah seorang insan dan harapan yang cukup untuk membuatkan anda bahagia.

Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasa ianya menyakitkan anda, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga. Kebahagiaan seseorang manusia tidak semestinya dalam memiliki segala yang terbaik. Mereka hanya membuat yang terbaik dalam hampir apa saja yang datang di dalam perjalanan hidup mereka. Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba. Hanya mereka yang boleh menghargai kepentingan manusia yang telah menyentuh hidup mereka.

Cinta bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan berakhir dengan tangisan. Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan yang lalu yang telah dilupakan. Anda tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga anda melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam.

Semasa anda dilahirkan, anda menangis dan orang di sekeliling anda tersenyum. Teruskanlah hidup anda supaya apabila anda mati nanti, andalah yang akan tersenyum dan orang sekeliling anda pula yang akan menangis.

Sumbangan: Mahani

Mutiara Kata

"Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah."

Perancangan

Seorang juruterbang atau kapten kapal mahupun pemandu bas akan membuat perancangan perjalanan mereka dengan meneliti peta dan mengetahui lokasi yang ingin dituju. Tanpa perancangan dan peta laluan serta lokasi yang ingin dituju, sudah pasti mereka sesat dan gagal ke destinasi yang diinginkan.

Perancangan merupakan sesuatu yang amat penting bagi kita dalam emncapai tujuan hidup, seperti mana juga yang dilakukan oleh para arkitek, jurutera dan kontraktor dalam proses membinaan bangunan tinggi. Tidak memadai dengan mengetahui ke mana destinasi yang ingin kita tuju. Kita juga harus tahu bagaimana kita boleh sampai ke sana. Sebelum kita bergerak dan berharap sampai ke tempat yang dituju, kita perlu merancangkan segala hal yang mungkin berlaku di dalam perjalanan itu. Kejayaan tidak akan 'terjadi begitu saja'.

Apabila kita memutuskan matlamat atau sasaran hidup, maka sasaran harus tidak berubah. Ya memang benar, rancangan kita boleh berubah-ubah. Seorang Panglima tentera tidak akan memenangi peperangan atau mencapai sasarannya dengan satu taktik, ia akan mengenatikan dengan pelbagai taktik lain supaya dapat mencapai sasarannya. Seperti juga Panglima tentera, kita juga memerlukan pelbagai rancangan yang boleh kita gunakan kalau diperlukan.

Perancangan yang baik akan membawa kita ke sasaran. Kalau ada 'jalan pintas menuju kejayaan', maka hal tersebut adalah perancangan yang tepat. Perancangan seperti ini akan menghilang kebiasaan membuta-tuli dan menunggu datangnya nasib baik atau kesempatan.

Wednesday, September 21, 2005

Luangkan Masa


Luangkan masa...

Luangkan masa untuk berfikir,
Ia merupakan sumber kepada kekuatan.

Luangkan masa untuk bermain,
Ia merupakan rahsia keremajaan abadi.

Luangkan masa utk membaca,
Ia adalah sumber kebijaksanaan.

Luangkan masa utk bersolat & berdoa,
Ia adalah ketenangan yang paling besar di bumi.

Luangkan masa untuk bercinta & dicintai,
Ia adalah perasaan anugerah Allah.

Luangkan masa untuk beramah mesra,
Ia adalah jalan menuju kebahagiaan.

Luangkan masa untuk ketawa,
Ia adalah irama untuk jiwa.

Luangkan masa untuk memberi,
Ia mengurangkan sikap mementingkan diri.

Luangkan masa untuk bekerja,
Ia adalah harga pada sebuah kejayaan.

Luangkan masa untuk beramal jariah,
Ia adalah kunci jalan ke syurga.

Tuesday, September 20, 2005

Allah tahu apa yang terbaik buat kita

Allah tahu, apa yang terbaik untuk kita. Jadi, mengapakah kita harus mengeluh? Kita sering menginginkan kesenangan, tetapi DIA tahu, setiap kesenangan ada kesusahan.

Kita sentiasa menginginkan kegembiraan dan keceriaan, tetapi hati kita akan menjadi keras Jika tidak pernah menggugurkan air mata.

Allah sering menguji kita dengan penderitaan dan kedukaan Sebagai ujian, bukannya hukuman Untuk membantu kita menghadapi hari esok.

Allah sering menguji kita dan untuk setiap kesengsaraan yang kita hadapi. Sabarlah ketika menerimanya Kerana telah dijanjikan sebuah kebahagiaan.

Oleh itu, apabila kita merasakan segala yang terjadi tidak seperti yang diinginkan. Ingatlah, Itulah cara Allah Dalam menguatkan lagi keimanan kita.

sumbangan: Fisha

Kejayaan


Kejayaan bukan suatu kebetulan. Ianya hasil daripada sikap kita dan sikap kita berdasarkan pilihan kita sendiri. Justeru itu, kejayaaan merupakan pilihan dan bukan nasib atau kebetulan. Manusia luar biasa mencari peluang, manakala manusia biasa mencari jaminan hidupan.

Apa yang membuatkan seseorang berjaya? Bagaimanakah kita mengenal pasti kejayaan? Makna kejayaan itu adalah subjektif, setiap individu yang berbeza mempunyai maksud kejayaan yang berbeza. Antara definisi yang memberi gambaran yang baik mengenai kejayaan adalah seperti berikut:
Kejayaan adalah usaha berterusan bagi mencapai matlamat yang wajar.

Berterusan bermaksud kejayaan adalah suatu perjalanan dan bukannya suatu destinasi. Kita tidak pernah berjaya dalam erti kata yang hakiki. Selepas kita berjaya mencapai satu matlamat, kita meneruskan perjalanan ke satu matlamat lain dan begitulah seterusnya.

Mencapai bermaksud ia adalah suatu pengalaman. Kekuatan luaran tidak dapat membuat kita menikmati kejayaan. Kita perlu merasai kejayaan di dalam diri kita. Ia adalah pengalaman dalaman dan bukannya luaran.

Matlamat itu penting kerana ianya memberi panduan dan hala tuju terhadap segala usaha yang kita lakukan.
Wajar adalah merujuk kepada sistem penilaian diri kita. Arah manakah kita tuju? Positif atau negatif? Kewajaran menentukan kualiti pada kejayaan tersebut ianya memberi makna dan kepuasan. Kejayaan tanpa kepuasan tidak membawa makna, ianya adalah kosong!

Kejayaan dan kegembiraan itu beriringan. Kejayaan adalah mendapatkan apa yang kita mahu dan kegembiraan adalah kita benar-benar mahukan apa yang kita dapat!

Kita perlu berusaha untuk kecemerlangan dan bukannya kesempurnaan. Berusaha untuk kecemerlangan adalah kemajuan, kerana tiada satu pun yang tidak boleh diperbaiki atau dilakukan dengan lebih baik lagi.

Sejarah

Idea untuk mencetus jounal web yang mengandungi maklumat dan kandungan motivasi dalam Bahasa Melayu bukan sesuatu yang baru. Idea ini sebenarnya bermula pada tahun 2001, apabila penulis mula belajar untuk membangun lawan web peribadi. Hasilnya ialah lahirlah sebuah laman web yang dinamakan sebagai http://www.sukses.s5.com/ .

Hasil kerja pembangunan laman web tersebut tergendala dipertengahan jalan disebabkan penulis bertukar kerjaya. Tambahan pula, masalah kehilangan kata laluan menyebabkan kerja-kerja untuk menambahkan isi kandungan laman web tersebut berhenti begitu sahaja.

Pada 19 September 2005, penulis terkejut melihat laman web http://www.sukses.s5.com/ disenaraikan di laman web cari (http://search3.cari.com.my/searchsystem/index.php?CatID=3416&Sortname=&Page=4) dan ini memberi inspirasi untuk penulis menghidupkan kembali laman tersebut dalam bentuk yang berlainan iaitu journal web.

Moga sumbangan yang sedikit ini akan memberi manfaat kepada diri ini dan masyarakat umumnya.

Pengenalan

Kewujudan journal web ini bertujuan untuk berkongsi ilmu dan maklumat berkaitan kejayaan dan motivasi dalam kehidupan sebagai seorang insan. Selain itu, laman ini juga bertujuan menambah bilangan kandungan journal web yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan.

Laman ini akan cuba mengumpulkan dan memaparkan seberapa banyak ilmu dan maklumat berkaitan kejayaan dan motivasi daripada pelbagai sumber untuk dikongsi bersama supaya dapat memberi manfaat kepada semua pengunjung di laman ini. Justeru itu, segala sumbangan daripada para pengunjung amatlah dialu-alukan dan dihargai. Moga-moga dengan usaha yang sedikit ini akan mendapat keberkatan daripadaNya. Insya Allah.

Ketetapan Halatuju

Umumnya mengetahui bahawa seseorang yang keinginan atau tujuan, pasti akan memenuhi tujuannya tanpa ada yang dapat menghalang keinginanya itu kecuali Tuhan yang Maha Berkuasa.

Kita harus menentukan hala tujuan hidup kita sebaik mungkin, supaya segala usaha kita dapat diarahkan untuk memenuhi tujuan itu. Tidak dinafikan tidak semua yang diinginkann akan mudah tercapai. Namun semakin tinggi keinginan dan usaha kita, semakin besar peluang kita untuk mencapai sasaran dan impian.

Ramai orang berasa sukar untuk menentukan hala tuju hidup mereka. Apa pun keputusan atau hala tuju yang ingin dilalui seharusnya memiliki dua syarat penting. Pertama, perkara yang dilakukan merupakan sesuatu yang dicintai. Kedua, hala tuju hidup kita seharusnya mempunyai peranan untuk menjadikan lingkungan atau persekitaran dunia kita menjadi lebih baik dan selari dengan suruhan Tuhan.

Hidup tanpa tujuan sama dengan kapal tanpa kemudi, terumbang-ambing di tengah-tengah lautan kehidupan. Pilihlah tujuan hidup kita dan tempuhlah jalan yang lurus dan benar.

Monday, September 19, 2005

Perancangan


Seorang juruterbang atau kapten kapal mahupun pemandu bas akan membuat perancangan perjalanan mereka dengan meneliti peta dan mengetahui lokasi yang ingin dituju. Tanpa perancangan dan peta laluan serta lokasi yang ingin dituju, sudah pasti mereka sesat dan gagal ke destinasi yang diinginkan.

Perancangan merupakan sesuatu yang amat penting bagi kita dalam emncapai tujuan hidup, seperti mana juga yang dilakukan oleh para arkitek, jurutera dan kontraktor dalam proses membinaan bangunan tinggi. Tidak memadai dengan mengetahui ke mana destinasi yang ingin kita tuju. Kita juga harus tahu bagaimana kita boleh sampai ke sana. Sebelum kita bergerak dan berharap sampai ke tempat yang dituju, kita perlu merancangkan segala hal yang mungkin berlaku di dalam perjalanan itu. Kejayaan tidak akan 'terjadi begitu saja'.



Apabila kita memutuskan matlamat atau sasaran hidup, maka sasaran harus tidak berubah. Ya memang benar, rancangan kita boleh berubah-ubah. Seorang Panglima tentera tidak akan memenangi peperangan atau mencapai sasarannya dengan satu taktik, ia akan mengenatikan dengan pelbagai taktik lain supaya dapat mencapai sasarannya. Seperti juga Panglima tentera, kita juga memerlukan pelbagai rancangan yang boleh kita gunakan kalau diperlukan.

Perancangan yang baik akan membawa kita ke sasaran. Kalau ada 'jalan pintas menuju kejayaan', maka hal tersebut adalah perancangan yang tepat. Perancangan seperti ini akan menghilang kebiasaan membuta-tuli da menunggu datangnya nasib baik atau kesempatan.

----

Ramai orang yang menyiksa diri dengan memikirkan kesusahan atau masalah yang belum tentu akan berlaku.

Langkah pertama

Yang banyak bermula dari satu
Pokok yang besar bermula dari benih yang halus
Perjalanan jauh bermula dari langkah pertama
Tiada pengakhiran tanpa permulaan


Sebagai permulaan... penulis akan memindahkan kandungan yang terdapat di http://www.sukses.s5.com/ untuk dipaparkan di sini.

Sukses

Sukses membawa maksud hasil daripada sesuatu (Kegiatan, usaha, dan lain-lain), terhasilnya (sesuatu), kejayaan dan ianya juga bererti mendapat kejayaan (kerana melakukan sesuatu), berhasil, berjaya atau beruntung.