Pernahkah kita mengalami secara tiba-tiba teman kita bersikap dingin terhadap persahabatan yang terjalin? Pernahkah kita melalui detik-detik di mana teman-teman sepersatuan enggan memberi kerjasama seperti yang diharapkan? Dan banyak lagi kejadian-kejadian yang lain berlaku semasa kita berkawan dengan seseorang. Justeru itu, coretan ini bertujuan untuk berkongsi serba sedikit panduan dan petua yang dapat membantu kita di dalam mengharungi kehidupan bersama teman-teman kita.
Perkara yang sering dilakukan oleh kita apabila bersama teman-teman adalah sikap suka mengkritik. Kita sering memperkecilkan usaha atau cadangan dari teman-teman dan adakalanya kita sering mencari kesalahan yang dilakukan oleh teman kita akibat kegagalan sesuatu tugas yang dilakukan bersama.
Sebenarnya, sikap suka mengkritik itu adalah merupakan usaha yang sesia-sia sahaja kerana seseorang akan bersikap defensif (mempertahankan diri) daripada kritikan tersebut dan berusaha untuk membenarkan dirinya. Sikap suka mengkritik akan merosakkan harga diri seseorang yang amat berharga, melukai perasaannya sebagai seorang yang penting dan menambahkan rasa rendah diri.
Dengan mengkritik, perubahan yang berjaya kita lakukan tidak akan berterusan dan kerapkali menimbulkan perasaan tidak puas hati. Perasaan sentimen (tidak puas hati) yang ditimbulkan oleh kritikan akan melumpuhkan semangat setiakawan, semangat kerjasama dan tidak dapat memperbaiki keadaan orang yang dikritik itu.
Sudah menjadi sikap manusia yang sering mengkritik atau menyalahkan orang lain apabila melakukan kesilapan kecuali dirinya sendiri. Kebanyakkan daripada kita adalah terdiri dalam golongan seperti ini. Kita haruslah sedar bahawa orang yang kita kritik atau yang disalahkan itu akan hanya membenarkan dirinya sendiri dan membalas kritik kita. Kenapa kita tidak berfikir seperti ini: "Jangan mengkritik mereka; kalau kita berada dalam situasi yang sama, kita pun akan lakukan seperti mereka."
Apakah kita ingin mengubah, mengatur dan memperbaiki orang lain? Tahniah! Ini sesuatu yang baik. Tetapi kenapa kita tidak mulai daripada diri kita sendiri? Kalau ditinjau sepintas lalu daripada kepentingan diri sendiri, perkara sebegini adalah lebih menguntungkan dibandingkan dengan cuba memperbaiki orang lain. Dan yang lebih baik, ia jauh lebih kurang bahaya.
Ingatlah! Sewaktu bergaul dengan seseorang, kita tidak bergaul dengan makhluk yang logik. Kita berhadapan dengan individu yang beremosi, penuh dengan prasangka dan digerakkan dengan motivasi maruah diri. Oleh demikian, kita harus bersikap bertimbangrasa dan cuba memahami keadaan sebenar yang berlaku. Tetapi untuk menjadi seseorang yang dapat memahami serta memaafkan memerlukan kesungguhan dan kemampuan mengendalikan diri.
Kesimpulannya, daripada kita mengkritik seseorang, lebih baik kita cuba memahami mereka. Cuba kita bayang kenapa mereka begitu. Itu lebih banyak memberi manfaat dan lebih menarik daripada membuat kritikan; sikap seperti itu menimbulkan simpati, tolenrasi dan kebaikan. "Mengetahui semuanya akan memanfaatkan semua."
Sunday, October 16, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment