Sumbangan: Azura Rabu
KEHIDUPAN umat Islam di alam ciptaan Allah ini tidak terkecuali daripada berhadapan dengan ujian dan cabaran. Allah sentiasa menguji manusia dengan pelbagai ujian, apatah lagi orang beriman dan kuat beribadat. Ujian Allah bertujuan menilai sejauh manakah tahap kesabaran manusia, sama ada mereka bersabar atau sebaliknya.
Allah menjelaskan dalam al-Quran bahawa setiap manusia pasti diuji. Manusia pula perlu mengatur persediaan untuk menempuh ujian Allah, bencana atau musibah, agar tidak kehilangan punca, gelisah dan keluh kesah. Malah, manusia perlu mempunyai daya kekuatan, kegigihan dan tidak mudah berputus asa. Ini sebenarnya memperlihatkan kemampuan manusia bersabar ketika berdepan dengan masalah dan kesukaran hidup dan meyakini setiap ujian pasti ada hikmah di sebaliknya.
Dalam hubungan ini, Allah berfirman bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami tetap akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang yang berjuang dan bersabar daripada kalangan kamu dan agar Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita mengenai keadaan kamu." (Surah Muhammad: ayat 31) Firman Allah lagi bermaksud: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan." (Surah Al-Ankabut: ayat 2) Jelas, ujian Allah bertujuan mendidik manusia agar menghadapi hidup dengan takwa dan beriman kepada Allah.
Nilai keimanan seseorang bergantung sejauh mana kita sanggup mengharungi pahit getir hidup dengan bersabar. Iman adalah ikatan perhubungan antara manusia dengan Allah. Ini bersesuaian dengan hakikat Islam yang membina kekuatan dalaman insan dan sentiasa pula mengiginkan kebaikan. Sebagai manusia seharusnya kita tunduk terhadap apa jua ujian Allah dengan sabar. Bagaimanapun, kebiasaannya ramai kecundang apabila menghadapi ujian Allah, mudah putus asa, resah dan hilang sabar dengan sedikit kesulitan atau cabaran biarpun ia menjanjikan sesuatu kejayaan. Malah, apabila ditimpa kesusahan, kemiskinan, kesakitan dan permasalahan, kita semakin tercabar dan hilang sabar. Ada pula hampir melupakan bahawa segala yang berlaku adalah kudrat Allah yang mesti diterima dengan sabar. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Siapa yang ingin bersabar, Allah memberikan kesabaran kepadanya."
Umat Islam tidak seharusnya bercakap kosong, tetapi mampu bertindak berbekal kesabaran di dada, menangani keadaan yang berkemungkinan memudaratkan serta disusuli dengan menunaikan kewa jipan kepada Allah dan menyelamatkan diri daripada melakukan perkara mungkar. Justeru, umat Islam yang mempunyai akidah yang teguh akan mudah menerima bencana, kesukaran, cabaran dan masalah yang berlaku berpunca daripada kecuaian manusia sendiri, perlu sabar menghadapi ujian Allah itu.
Allah berfirman bermaksud: "Jika kamu bersabar dan bertakwa, sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan." (Surah Ali Imran: ayat 186) Allah berfirman lagi, bermaksud: "Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar. Mereka itulah yang mendapat berkat yang sempurna dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk." (Surah Al-Baqarah: ayat 155-157).
Begitulah kelebihan sifat sabar yang bukan sahaja menjanjikan kejayaan di dunia bahkan kenikmatan di akhirat. Justeru, kita perlu menanam sifat sabar pada diri dan ahli keluarga, di samping tidak meremehkan hal fardu kifayah. Kesabaran seharusnya menjadi teras yang melatari serta menunjangi hidup kita.
Tuesday, October 11, 2005
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment